Followers


ShoutMix chat widget

Nisa’ Parit Buntar ajak anak muda berhibur cara Islam




PARIT BUNTAR, 21 Dis. : Golongan remaja perlu diperkenalkan dengan cara hidup Islam memandangkan hari ini mereka lebih terdedah dengan pelbagai masalah sosial hingga menyebabkan keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, Nisa’ Parit Buntar melalui Unit Pembangunan Insan, menganjurkan program ‘Jom Tengok Movie Bersama Nisa’ sebagai usaha membimbing remaja untuk berhibur mengikut syariat Islam, sekali gus mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial.

Pengarah program, Siti Aishah Abd Mutalib berkata, program itu memuatkan slot tayangan filem ‘Syurga Cinta’ diikuti forum bual bicara bertajuk ‘Aku Dibius Cinta’ yang membincangkan persoalan cinta remaja.

“Penonton selesa dengan program santai ini kerana mereka bukan sahaja dapat menonton tayangan, malah mendapat pendedahan buruk baiknya cinta remaja.

“Program yang melibatkan remaja berumur 13 tahun ke atas ini memberi kefahaman moral dan sahsiah kepada mereka. Ia perlu supaya dapat melahirkan individu Islam yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Siti Aishah berkata, program itu juga bertujuan mengumpulkan ahli Nisa’ Parit Buntar untuk mengeratkan silaturahim antara mereka.

Katanya, kejayaan Nisa’ mengadakan program sesuai dengan cita rasa remaja mampu mendekatkan golongan itu dengan ajaran Islam.

“Mereka bukan sahaja mendapat tarbiah diri melalui program ini, malah menjadikan mereka lebih bijak menggunakan masa untuk perkara berfaedah,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan remaja yang ditemui pada program itu menyambut baik usaha yang dilakukan Nisa’.

Seorang remaja, Nor Hakimah Ahmad berkata, program seperti itu dapat memupuk ukhuwah antara mereka yang menyertainya.

“Pengisian program juga banyak memberi faedah kepada peserta,” katanya yang menyertai program itu bersama adiknya, Nor Arifah Ahmad.

Bagi Nurul Nabilah Helmi pula, dia gembira kerana dapat turut serta dalam program itu kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan sebaya dari kawasan berlainan. - SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment